Pengiraan Detik 82 Hari ke PRU13: Najib sepatutnya membersihkan nama Tunku, bapanya Tun Razak dan satu juga warga generasi Merdeka daripada fitnah Mahathir bahawa Tunku telah memberikan kewarganegaraan kepada sejuta orang yang tidak layak


Baru separuh bulan pertama Tahun Baru 2013 berlalu tetapi dasar 1 Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengalami dua tamparan hebat – pertama, insiden “Listen, listen, listen!” Sharifah-Bawani dan kedua, mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir menfitnah Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman dan satu juta warganegara genrasi Merdeka.

Klip video terkenal “Listen, listen, listen!” Sharifah-Bawani adalah bukti terkini berterusan dan bahaya tersembunyi pusaka 22 tahun pemerintahan drakonian Mahathir, mendedahkan kepalsuan dakwaan bahawa pemerintahan Najib telah membuang segala beban lampau yang bersifat Mahathir dan kini menganut kepercayaan “Era kerajaan tahu semua telah berlalu”.

Apa yang menggoncang keyakinan awam sehingga ke akar bukan sahaja integriti institusi negara tetapi juga iltizam kerajaan sekarang terhadap dasar 1Malaysia ialah fitnah terhadap Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman dan satu juta warga generasi Merdeka oleh Perdana Menteri paling lama memerintah ketika cuba menjustifikasikan Projek IC atau Projek M yang telah melakukan jenayah dan pengkhianatan penipuan “kewarganegaraan-untuk-undi” di Sabah bagi mempertahankan kuasa UMNO di negeri itu.

Najib menghuraikan maksud 1Malaysia di dalam Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia pada Januari 2010 menyebut:

“Matlamat 1Malaysia adalah untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya maju, lebih produktif dan lebih berdaya saing – dan kemuncaknya sebuah negara yang hebat: sebuah negara yang diharapkan agar setiap warga Malaysia melihat dirinya terlebih dahulu sebagai rakyat Malaysia, dan kemudiannya barulah melihat dirinya berdasarkan bangsa, agama, kawasan geografi dan latar belakang sosial, dan juga sebuah negara yang diharapkan agar prinsip 1Malaysia dijalin dalam struktur ekonomi, politik dan sosial masyarakat.”

Akan tetapi satu persoalan yang menuntut jawapan, walaupun kita meletak ke tepi buat sementara waktu penolakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap dasar 1Malaysia sewaktu beliau mengisytiharkan dirinya “Melayu dahulu, rakyat Malaysia kemudian” dan kegagalan Kabinet serta Majlis Tertinggi UMNO/BN untuk menyokong secara terbuka dasar 1Malaysia meskipun sudah empat tahun pemerintahan Najib.

Persoalannya ialah: Bagaimana rakyat Malaysia mahu melihat dasar 1Malaysia Najib sebagai sebuah dasar yang serius bagi menjadikan Malaysia yang lebih berdaya maju, lebih produktif dan lebih berdaya saing yang mana setiap warga Malaysia melihat dirinya terlebih dahulu sebagai rakyat Malaysia kemudian barulah berdasarkan bangsa, apabila usaha dalam pembangunan bangsa bukan sahaja oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman tetapi juga satu juta warga generasi Merdeka boleh diperkecilkan malah difitnah – seperti yang dilakukan Mahathir apabila beliau mendakwa Tunku telah melakukan sesuatu yang lebih teruk daripada Projek IC atau Projek M dengan memberikan kewarganegaraan kepada satu juga warga semenanjung Malaysia yang tidak layak, dan membantah: “Kenapa apa yang dia buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah?”

Bukannya dengan menfitnah Tunku dan satu juta warga generasi Merdeka tetapi Mahathir sepatutnya menjawab kepada rakyat Sabah dan Malaysia mengapa beliau hidup di dalam pembohongan selama dua dekad – sepuluh tahun sebagai PM dan sepuluh tahun selepas bersara – menafikan kewujudan Projek IC atau Projek M yang melakukan penipuan “kewarganegaraan-untuk-undi”?

Rakyat Malaysia bagaimanapun, bingung dengan jawapan Najib pada hari Khamis selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional terhadap pendedahan penipuan “kewarganegaraan-untuk-undi” oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang pendatang tanpa izin di Sabag dan reaksi Mahathir.

Sebenarnya, apa yang Najib tidak katakan lebih penting daripada apa yang beliau katakan.

Walaupun mengatakan masih awal untuk membuat sebarang kesimpulan daripada RCI memandangkan ia masih di peringkat permulaan dengan 167 lagi saksi akan dipanggil, Najib berhati-hati mengelak daripada memberikan komen kepada fitnah Mahathir terhadap Tunku serta satu juta warga generasi Merdeka.

Adakah Najib menunjukkan sokongan kepada fitnah Mahathir bahawa Tunku memberikan kewarganegaraan kepada satu juta warga tidak layak – yang bukan sahaja mengaitkan Bapa Malaysia tetapi juga bapa Najib, Tun Razak?

Biar Najib segera membersihkan bukan sahaja nama Tunku tetapi juga bapa beliau Tun Razak dan secara terbuka menjauhkan dirinya daripada fitnah Mahathir terhadap Tunku, Tun Razak dan satu juta warga generasi Merdeka.

  1. No comments yet.

You must be logged in to post a comment.